‘Andai tiba jodoh, pasti hati bersatu’ – Syamel

KUALA LUMPUR: Keakraban penyanyi, Syamel dan Ernie Zakri dapat dilihat dengan jelas menerusi gambar dan video yang dimuat naik menerusi entri Instagram.

Melihat kemesraan penyanyi duet menerusi lagu Aku Cinta itu, ramai peminat merestui dan mendoakan hubungan mereka hingga ke jenjang pelamin.

Cuma hingga saat ini, Syamel atau nama sebenarnya, Syameel Aqmal Mohd Fodzly memberitahu, dia dan Ernie belum dapat mengesahkan tarikh tepat untuk mendirikan rumah tangga.

“Saya dan Ernie memang berkawan rapat. Saya selesa dengannya. Jika ada yang bertanya atau mengusik hingga tercetus persoalan nak kahwin, saya dan Ernie cukup terbuka.

“Jujurnya, saya juga mengharapkan kesudahan yang baik untuk kami. Ada jodoh, sudah pasti tidak lari gunung dikejar. Cuma, pengesahan bila nak kahwin belum ada.

“Jika sudah jadi, saya pasti akan berkongsi berita gembira ini. Saya tidak akan sesekali menyembunyikan hari bahagia kami,” katanya kepada BH Online.

Kata Syamel, dia dan Ernie mempunyai pendirian sama dalam hidup.

“Sebelum memikir soal masa depan dan perkahwinan, kami mahu membahagiakan keluarga terlebih dahulu. Saya pernah berhasrat membawa keluarga ke Tanah Suci Makkah untuk mengerjakan umrah. Alhamdulillah, akhirnya impian jadi kenyataan.

“Sebagai lelaki, saya juga mahu mendirikan rumah tangga. Tipulah tak pernah terlintas perkara ini. Andai sampai jodoh, pasti hati bersatu dengan wanita disayangi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Syamel berkata, dia terpilih menyanyikan lagu tema Hari Kemerdekaan berjudul Malaysia Prihatin, tahun ini.

“Ini kali ketiga saya menyanyikan lagu tema Hari Kemerdekaan. Untuk kali ini, saya berganding dengan Alif Satar, Aina Abdul dan Siti Sarah menyanyikan lagu Malaysia Prihatin,” katanya.

Syamel berkata, dia dan Ernie akan berduet menyanyikan lagu Malaysia Prihatin versi simfoni sambil diiringi Orkestra RTM, Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) dan Orkestra Simfoni Kebangsaan (NSO) di Konsert Merdeka (Bangkit Malaysia) pada Ahad ini.

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!!

Sumber: BH

Be the first to comment on "‘Andai tiba jodoh, pasti hati bersatu’ – Syamel"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*