Nama mel0njak selepas 3 tahun

PERJALANAN sebagai anak seni bukanlah semudah yang disangka.

Riena Diana yang melangkah ke bidang lakonan menerusi program Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) kini mula berasakan kemanisan bergelar anak seni.

Pada peringkat awal, pelakon berusia 23 tahun ini akui banyak kepincangan dan cabaran untuknya cuba menempa nama dalam kalangan pelakon hebat tanah air.

Namun, menerusi drama bersiri Kampung People yang ditayangkan baru-baru ini, wataknya sebagai gadis ‘bimbo’ bernama Laila berjaya menaikkan namanya.

“Alhamdulillah, saya sendiri tak menjangka drama Kampung People dan watak Laila berjaya menaikkan nama saya. Sebelum ini, saya sudah tiga tahun bergelar pelakon, tetapi masih kurang menyerlah.

“Saya bersyukur kerana penerimaan baik terhadap drama ini membuahkan banyak rezeki buat saya apabila ditawarkan berlakon dalam drama lain,” katanya.

TIGA tahun bergelar pelakon. FOTO Rohanis Shukri

Menurut anak sulung daripada dua beradik ini, 2020 nampaknya bermula dengan baik dan dia juga mengharapkan supaya ia menjadi tahun terbaik buatnya.

“Banyak perkara menarik dan tuah kepada diri saya sejak awal tahun. Bukan saja dalam kehidupan, tetapi dalam karier seni saya dan perniagaan, semuanya berjalan dengan teratur,” katanya.

Bercerita mengenai lakonan, Riena mengakui mula selesa membawakan watak komedi. Namun, dia tidak mahu mengehadkan kemampuan lakonannya kepada satu watak saja.

“Kalau boleh, saya nak orang kenal saya sebagai pelakon ‘versatile’ yang boleh melakonkan pelbagai watak. Tak semestinya komedi, saya nak cuba bawa watak yang bermain dengan emosi dan juga antagonis.

“Sebagai pelakon baharu, saya tak mahu terlalu memilih watak yang ditawarkan. Daripada watak kecil hinggalah watak besar, semuanya saya terima sebab nak orang nampak bakat lakonan saya,” katanya.

Walaupun watak komedi dilihat seperti mudah dan santai, ia sebenarnya mencabar buat Riena.

“Pada awalnya saya sangkakan watak komedi tidaklah sesukar mana. Namun, hakikatnya, bukan mudah membuat orang ketawa.

“Saya bersyukur kerana ketika menjalani penggambaran Kampung People, saya banyak dibantu pengarah dan Elly Mazlein yang saya panggil ‘Mommy’. Dia banyak membantu saya menjayakan watak Laila,” katanya.

DRAMA Kampung People dan watak Laila berjaya menaikkan nama Riena. FOTO Rohanis Shukri

Walaupun tayangan drama bersiri itu sudah selesai, impaknya masih terasa sehingga ke hari ini dan kerana itu pihak produksi berkemungkinan akan hasilkan musim kedua.

“Saya ada dengar akan

ada musim kedua untuk Kampung People. Setakat ini, kami masih mencari tarikh sesuai untuk semua pelakon memandangkan masing-masing ada komitmen kerja sendiri,” katanya.

Masih teruskan pengajian

Selain bergelar pelakon, Riena juga menjalani kehidupan sebagai pelajar yang kini menuntut dalam jurusan Komunikasi Massa di sebuah kolej swasta.

“Saya anak sulung, jadi ada tanggungjawab yang perlu dipikul. Sebelum mula berlakon lagi, saya dah janji dengan ayah untuk habiskan pengajian sehingga ke peringkat ijazah sarjana muda.

“Sebagai anak sulung juga, saya bersyukur kerana pada usia ini sudah mula mencari rezeki untuk membantu kewangan keluarga,” katanya.

Bercerita lagi mengenai kehidupannya, Riena yang tinggal dan membesar dengan neneknya bercita-cita membawa neneknya menunaikan umrah.

“Saya pernah luahkan hasrat kepada nenek untuk bawa dia ke Makkah mengerjakan umrah. Insya-Allah, menjelang penghujung tahun ini, hasrat saya itu akan menjadi kenyataan,” katanya.

Terkini, Riena menjalani penggambaran drama bersiri 30 episod berjudul Leonzalika di samping beberapa pelakon lain antaranya Dini Schatzmann, Nadia Brian dan Mona Allen.

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!!

Sumber: METRO

Be the first to comment on "Nama mel0njak selepas 3 tahun"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*