Masih tinggal di pondok

TUJUH keluarga dari tiga perkampungan Orang Asli di Kahang, Kluang dikesan masih tinggal di dalam pondok sejak lima tahun lalu berikutan dihimpit kemiskinan.

Mereka yang tidak berumah itu membabitkan empat keluarga dari Kampung Orang Asli Berasau, dua keluarga di Kampung Orang Asli Air Pasir dan satu keluarga di Kampung Orang Asli Kuala Sengka.

Batin Kampung Orang Asli Berasau, Sari Achu berkata, permohonan untuk mendapatkan rumah bagi menggantikan pondok yang didiami penduduk kampung berkenaan sudah pun diajukan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), namun belum ada maklum balas.

Katanya, selain tidak mempunyai kemudahan asas seperti air dan elektrik, pondok yang dihuni setiap keluarga itu juga tidak mempunyai bilik serta ciri keselamatan lain.

“Kami amat berharap pembangunan baharu untuk membina kediaman kepada 27 penduduk itu dilakukan segera supaya mereka dapat hidup lebih selesa seperti penduduk lain yang sudah mendapat kemudahan sama.

“Sekiranya mereka memiliki kediaman sempurna, ibu bapa tidak perlu bimbang untuk meninggalkan anak ketika keluar bekerja,” katanya.

Sari berkata demikian kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kahang, R Vidyananthan ketika tinjauan pasca banjir di perkampungan Orang Asli di Kahang, Kluang, hari ini.

Menurut Sari, pertambahan penduduk di setiap perkampungan Orang Asli di Kahang memang ada, ia membabitkan anak penduduk kampung yang sudah dewasa dan membina kehidupan keluarga sendiri.

Sementara itu, Vidyananthan berkata, hasil tinjauan mendapati ada pondok yang perlu diganti 100 peratus, namun ada juga yang hanya perlu dinaik taraf menjadi rumah sempurna serta lengkap dengan kemudahan asas.

“Pihak JAKOA diharapkan memandang berat masalah dihadapi penduduk di perkampungan Orang Asli ini kerana ia adalah asas bagi kehidupan mereka,” katanya.

KEADAAN pondok yang dihuni penduduk Orang Asli di Kahang. FOTO Adnan Ibrahim

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!!

Sumber: METRO

Be the first to comment on "Masih tinggal di pondok"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*