Alif rehat seketika, fokus pada isteri sarat hamil

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Alif, tidak mengambil sebarang tawaran persembahan bagi memberikan tumpuan kepada isteri, Azzah Fariha, yang bakal melahirkan anak kedua mereka, 27 Januari ini.

Teruja bakal menimang seorang putera, Alif yang aktif berkarya serta mencipta nama dalam industri muzik negara ini mengakui, dia perlu lebih bijak menguruskan masa bersama keluarga di Singapura.

“Kemunculan di Tempatan Fest pada penghujung Disember adalah persembahan terakhir bagi musim 2019. Saya memilih untuk berehat seketika sementara menantikan tarikh isteri melahirkan cahaya mata kedua. Kali ini, saya dan isteri bakal menimang anak lelaki, jadi ia boleh dianggap pelengkap keluarga kecil kami.

“Saya memang perlu lebih bijak membahagikan waktu memandangkan keluarga berada di Singapura. Biarpun mereka ingin berpindah ke sini, pelbagai aspek tetap perlu diambil kira. Sekiranya semua berjalan lancar, semestinya saya ingin membawa mereka untuk tinggal bersama-sama di Malaysia.

“Saya berharap, orang ramai mendoakan supaya semuanya dipermudahkan. Restu mereka jugalah yang membuatkan saya kuat sehingga ke hari ini, apatah lagi apabila tinggal bersendirian,” kata Alif.

Empat tahun bergerak solo, Alif, 31, juga berkata bukan mudah untuknya menyusun jadual dan membahagikan masa antara famili dengan kerjaya.

Akui bapa kepada Alana, 4, dia juga bukan seorang yang mempunyai perancangan rapi.

Alif pernah bergabung dengan sepupunya, Ahmad Syarifullah Ahmad Soribah, membentuk kumpulan Sleeq sejak 2005. Bagaimanapun, kumpulan duo itu dibubarkan pada 2015.

“Saya akui bukan mudah untuk menepis dugaan dan cabaran, apatah lagi apabila tinggal sendirian di Malaysia. Namun, kepercayaan diberikan keluarga tidak harus dipersiakan.

“Sejajar dengan arus teknologi terkini, contohnya, saya memilih untuk menapis mesej peribadi, terutama di media sosial. Bagi saya, mesej sedemikian boleh menjuruskan diri kepada perkara tidak sesuai dengan status saya sebagai suami.

“Saya lebih selesa menjawab menerusi e-mel jika ia berkaitan dengan kerja. Paling penting, selesai persembahan, saya memastikan untuk terus sahaja pulang ke rumah. Rasanya, lebih baik begitu,” kata Alif.

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!!

Sumber: BERITA HARIAN

Be the first to comment on "Alif rehat seketika, fokus pada isteri sarat hamil"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*