Telatah comel dan bersahaja Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Di Perarakan Merdeka

PUTRAJAYA: Rakyat pelbagai kaum dan usia membanjiri Dataran Putrajaya di sini, hari ini bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2019 yang diraikan dengan penuh semangat patriotik.

Sebahagian pengunjung termasuk yang datang bersama keluarga seawal jam 6 pagi tadi, menggayakan busana bercorak Jalur Gemilang, serta mengibarkan bendera Malaysia dengan bersemangat walaupun acara utama belum bermula.

Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini yang bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’ kali kedua berturut-turut diadakan di pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan, iaitu selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran kerajaan.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar, turut berangkat menghadiri sambutan.

Telatah YDPA dan Raja Permaisuri Agong mencuit hati rakyat ketika perarakan Merdeka – Kredit Kosmo Online

Yang turut hadir, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang memandu sendiri sebuah Proton Saga berwarna merah hati; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan suami, Datuk Seri Anwar Ibrahim; barisan menteri Kabinet, pegawai kanan kerajaan serta pemimpin parti politik.

Sejurus keberangkatan baginda, Al-Sultan Abdullah memeriksa Kawalan Kehormatan Utama dibarisi 107 pegawai dan anggota Batalion Pertama Regimen Askar Melayu Diraja, diketuai Mejar Shaiful Amir Omar.

Sambutan diteruskan dengan nyanyian Negaraku, disusuli acara menaikkan Jalur Gemilang, diiringi 14 das tembakan meriam yang melambangkan 14 negeri oleh 41 Bateri Istiadat Rejimen Artileri Diraja diketuai Mejar Asri Che Wil.

Ia diikuti bacaan ikrar Rukun Negara dan laungan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali oleh Ketua Penolong Kanan Persuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Zuhairie Abu Bakar serta 62 pembaca ikrar.

Acara dimeriahkan lagi dengan persembahan khas ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’ membabitkan 1,627 peserta, terdiri kumpulan kesenian mewakili pelbagai agensi dan persatuan.

Acara perbarisan dan perarakan di Persiaran Perdana sejauh 3.2 kilometer itu bermula pada jam 8.40 pagi, didahului perarakan masuk Kontinjen Kenegaraan iaitu pembawa Jalur Gemilang, bendera negeri dan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang, melintasi pentas utama.

Perarakan membabitkan lebih 17,353 peserta itu dimulakan dengan kontinjen perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta.

SEMPAT KELUAR HANDPHONE UNTUK RAKAM JET PEJUANG MELALUI RUANG ANGKASA

Gambar Dari Kosmo Online

Telatah comel dan bersahaja Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah ketika berangkat menghadiri sambutan Hari Kebangsaan 2019 di Putrajaya sentiasa dikagumi rakyat.

Tunku Azizah dilihat mengeluarkan telefon pintarnya untuk merakam babak-babak menarik dan telatah ‘comel’ Al-Sultan Abdullah turut mencuri tumpuan ketika deruan pesawat pejuang di ruang udara Putrajaya kedengaran ketika persembahan pertunjukkan aset Tentera Udara Diraja Malaysia.

Ruang udara Putrajaya ‘bergegar’

Paling mengujakan, pertunjukan terbang lintas pesawat udara termasuk jet pejuang milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), selain helikopter yang menggegarkan ruang udara Putrajaya membabitkan 22 helikopter, sembilan pesawat angkut dan 24 pesawat pejuang.

Sumber : BHarian Online / Kosmo Online

Be the first to comment on "Telatah comel dan bersahaja Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Di Perarakan Merdeka"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*