“Saya Nervous Nak Pegang Fazura” – Remy Ishak

Aktor popular, Remy Ishak akui berasa gementar untuk memegang pelakon jelita Nur Fazura ketika penggambaran filem terbaru lakonan mereka iaitu Dendam Pontianak.

Menurut Remy, dia sangat mengormati Fazura yang sudah lebih lama berkecimpung dalam industri hiburan berbanding dirinya.

“Saya mengaku berasa gementar untuk memegang Fazura dalam beberapa babak sepanjang penggambaran filem ini.

“Manakan tidak, saya sudah lama meminati lakonannya, tambahan lagi, saya harus menghormatinya kerana dia merupakan senior saya dalam industri hiburan,” kata Remy kepada Gempak.

Remy berkata demikian ketika ditemui di sidang media filem Dendam Pontianak bertempat di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur Rabu lepas.

Dalam pada itu, Remy menambah, dia telah berbincang dengan pengarah terlebih dahulu untuk melakonkan beberapa babak yang memerlukan aksi mesra bersama aktres tersebut.

“Memandangkan Fazura telah berkahwin ketika penggambaran tersebut, saya sedar yang saya harus lebih berhati-hati.

“Jadi, sebelum melakonkan beberapa babak percintaan, saya telahpun berbincang dengan pengarah terlebih dahulu,” ujarnya lagi.

Filem Dendam Pontianak yang diedarkan secara rasmi oleh Primeworks Studios ini menampilkan Remy Ishak, Fazura, Hisyam Hamid, Namron, Wan Hanafi Su dan ramai lagi. Ia bakal menjengah pawagam di seluruh negara bermula 12 September ini.

Dalam perkembangan lain, Remy juga bakal tampil dalam filem Sangkar yang bakal menemui anda tidak lama lagi.

Selain Remy, filem Sangkar turut dibintangi oleh Zul Ariffin, Mira Filzah, Ray Era, Nik Adam Mika dan ramai lagi.

Sangkar telah melakar sejarah dalam industri perfileman tanah air kerana diterbitkan oleh empat syarikat perfileman tempatan iaitu Infinitus Gold, Primeworks Studios, Astro Shaw dan MM2 Entertainment.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan filem yang menampilkan aksi sukan seni bela diri (MMA) ini, ia bakal menjengah pawagam di seluruh negara serta Singapura dan Brunei bermula 29 Ogos ini.

Sumber: Gempak

 

Be the first to comment on "“Saya Nervous Nak Pegang Fazura” – Remy Ishak"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*